Saturday, 5 December 2015

TEMA: MASALAH SOSIAL



LANGKAH MENGATASI KEMALANGAN JALAN RAYA



     Kemalangan jalan raya yang berlaku telah menyebabkan kecederaan, kematian serta kerosakan kenderaan yang terbabit. Walaupun dikatakan malang tidak berbau, kita masih boleh mengambil beberapa langkah yang proaktif dalam memastikan angka kemalangan maut tidak terus meningkat.

     Langkah utama dalam mengurangkan angka kemalangan jalan raya sudah pastilah dengan mendidik para pemandu khususnya pemandu pengangkutan awam supaya lebih berdisiplin ketika memandu. Peratusan tinggi kemalangan dikatakan berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang secara tidak langsung menyebabkan mereka kehilangan fokus. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya perlu hadir dari dalam diri kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal umpama tidak bermakna.

     Selain itu, langkah yang boleh diambil pula ialah dengan membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam. Sebagai misalannya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan ini memungkinkan kemalangan berlaku jika kenderaan di belakang mengikut terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

     Pihak penguatkuasa undang-undang jalan raya juga perlu bertindak dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pihak polis mestilah bertugas dengan baik dan membuat pemantauan yang berterusan terhadap sikap pemandu kenderaan. Pemandu yang melanggar peraturan jalan raya hendaklah disaman dan didakwa di mahkamah untuk dijadikan pengajaran kepada orang lain. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan juga boleh memainkan peranan dengan menahan kenderaan yang tiada cukai jalan atau membawa muatan yang berlebihan. Jika pihak penguatkuasa undang-undang jalan raya dapat memainkan peranan dengan berkesan, maka kemalangan dapat dikurangkan dan ia pastinya menguntungkan banyak pihak.

     Langkah terakhir dalam menangani isu yang kian membarah ini sudah tentulah melalui penganjuran kempen-kempen kesedaran dalam hal yang berkaitan keselamatan jalan raya. Pihak swasta dalam hal ini juga boleh menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan kempen-kempen tersebut melalui media massa seperti televisyen, radio, akhbar mahupun Internet. Kempen-kempen yang dijalankan ini perlulah dibuat secara berterusan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun melepaskan batok di tangga. Secara tidak langsung masyarakat akan tahu pihak kerajaan mahupun penganjur kempen ini bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan kecelakaan jalan raya.

     Secara kesimpulannya, semua pihak perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya kadar kemalangan jalan raya di negara kita dapat dikurangkan. Jika segala langkah telah diambil dan dijalankan dengan sewajarnya, tidak mustahil kita dapat melihat negara yang dicintai ini berkembang menuju ke arah status negara maju setanding dengan negara-negara maju yang lain.

No comments:

Post a Comment