Tuesday, 8 December 2015

PENCEMARAN TANAH




Bumi merupakan sebuah planet yang unik kerana terdapat hidupan yang hidup di bumi.  “Hampir 71% permukaan bumi dilitupi  dengan air dan 29% lagi adalah tanah” (Gunawan, 2015). Persekitaran bumi dikelilingi dengan pelbagai alam sekitar semula jadi seperti sungai, bukit-bukau, gua, flora dan fauna serta pelbagai lagi. Namun begitu, lama kelamaan keadaan bumi mula mengalami proses penurunan kualiti. Bumi mula menunjukkan sumber semula jadi mula kehabisan atau kehausan sumber alam yang diperlukan oleh manusia untuk meneruskan hidup. Pelbagai kerosakan telah berlaku terhadap alam sekitar antaranya pencemaran air, gempa bumi, banjir, pencemaran udara, dan sebagainya. Kajian ini berkaitan dengan alam sekitar dan memfokuskan kepada pencemaran tanah.


JENIS-JENIS TANAH

Sebelum dihuraikan dengan lebih lanjut mengenai pencemaran tanah seperti yang diketahui terdapat pelbagai jenis tanah yang terdapat di muka bumi. Setiap tanah tersebut mempunyai fungsi dan sifat yang berlainan. Berikut merupakan jenis-jenis tanahberdasarkan rajah dibawah:


Secara umumnya, tanah terbahagi kepada dua jenis tanah iaitu tanah mineral dan tanah organik (Samsudin Syamsu, 2015)). Namun begitu, terdapat pelbagai jenis tanah lain yang wujud di atas muka bumi ini. Antaranya:

a) Tanah Gambut
Tanah gambut merupakan salah satu jenis tanah yang berasal dari induk tanah organik. Mempunyai ciri warna gelap dan bersifat asam, basah serta kurang subur. Tanah ini banyak terdapat di rawa Kalimantan, Papua, dan Sumatera.

b) Tanah Endapan (Alluvial)
Tanah endapan merupakan jenis tanah yang masih muda. Tanah ini terbentuk oleh material halus yang mengendap di dataran rendah atau aliran sungai. Berwarna gelap dan bersifat subur.

c) Tanah Pasir
Tanah pasir mengandung kerikil batu dan sedikit humus yang sangat sukar dilalui air. Tanah ini tidak sesuai untuk pertanian tapi sesuai digunakan untuk bahan bangunan.

d) Tanah Liat 
Tanah liat atau dikenali juga sebagai tanah lempung tidak sesuai untuk pengaliran air. Tanah ini juga bersifat tidak subur dan dimanfaatkan untuk membuat gerabah.

e) Tanah Kapur (Tanah Mediteran)
Tanah kapur berasal dari batuan kapur yang keras (limestone). Tanah ini sangat mudah mengalirkan air. Bersifat kurang subur tetapi sesuai untuk pertumbuhan pokok jati.



DEFINISI

Permukaan bumi ditutupi oleh tanah sebanyak 29%. Flora tumbuh dan hidup di atas tanah. Oleh itu, komposisi tanah perlulah dijaga dengan baik kerana tanah penting untuk flora dan fauna serta manusia untuk meneruskan hidup.  Kajian ini telah memfokuskan kepada pencemaran tanah.

Tanah ditakrifkan sebagai “tempat tumbuhan hidup iaitu lapisan yang terdapat di bahgaian atas kulit bumi” (Yuwono, 2013). Tanah merupakan bahagian kerak bumi yang tersusun dari mineral dan bahan organik meliputi benda padat (organik & anorganik), udara, dan air tanah.

Pencemaran tanah pula didefinisikan sebagai “keadaan di mana tanah mula menunjukkan perubahan dari segi kesuburan, tanah, dan hakisan” (Saktiyono ,2006; 162). Perubahan ini berlaku kerana bahan kimia buatan manusia telah meresap masuk ke dalam tanah dan menyebabkan tanah mengalami pencemaran.


PUNCA PENCEMARAN TANAH

   Pencemaran yang berlaku di muka bumi ini berpunca daripada sikap manusia. Sikap manusia itu sendiri yang suka membuat pembuangan sampah sarap secara tidak terkawal menjadi salah satu punca yang menyebabkan berlakunya pencemaran tanah (2005). Pembuangan sampah dilakukan melalui dua kaedah iaitu kaedah penimbusan dan kaedah pembakaran. Melalui kaedah penimbusan, sampah sarap akan ditanam ke dalam tanah. Sampah hanya dilenyapkan dari pandangan mata dan hiduan hidung sahaja. Tambahan lagi, sampah sarap ini tidak akan terurai dengan cepat menyebabkan tanah tidak mendapat oksigen.

   Pembuangan sisa toksik antara punca berlaku pencemaran tanah. Sisa toksik dan nuklear yang dibuang dari limbahan domestik dan industri dalam kuantiti yang banyak akan mencemari permukaan tanah (Rayyan Darwisy, 2012). Dengan ini, kualiti tanah akan merosot dan mengubah sifat tanah menjadi tidak subur. Sisa toksik banyak dibuang dari limbahan industri seperti pembuangan minyak, bahan kimia dari kilang di sungai. Bahan kimia yang dibuang ini akan meresap ke dalam tanah dan tidak dapat diurai dalam tanah maka tanah akan tercemar dan mula berubah sifat seterusnya menjadi rosak

   Di samping itu, pencemaran tanah turut berlaku disebabkan oleh penebangan hutan. Hal ini demikian kerana, kawasan hutan ditebang untuk mendapatkan hasil balak. “Pokok yang terdapat dihutan berfungsi untuk mengukukhkan dan memadatkan tanah” (Wedaran. 2015). Namun begitu, struktur tanah menjadi longgar kerana penebangan hutan, maka tanah tidak dicengkam oleh akar pokok dan boleh menyebakan kejadian tanah runtuh sekaligus mencemarkan struktur tanah. Struktur tanah yang tidak kukuh akan memudahkan tanah dicemari dan rosak. 


KESAN PENCEMARAN TANAH 

   Pencemaran tanah yang berlaku akan meninggalkan kesan buruk terhadap kesihatan. Hal ini demikian kerana, pencemaran yang berlaku boleh menyebabkan penyebaran penayakit. Kesihatan manusia, flora dan fauna akan menjadi teruk. Tanah yang tercemar akan menunjukkan perubahan dari segi warna, bau, dan lain lagi (Yuwono, 2010). Bau tanah yang berbau akan menarik perhatian serangga perosak dan kuman-kuman untuk membiak dikawasan tersebut. Pembiakan ini akan memudahkan penyebaran penyakit berlaku yang berpunca daripada kuman. 

   Selain itu, kesan pencemaran tanah ialah kemerosotan kualiti tanah. Bahan kimia dan sisa-sisa industri yang telah meresap ke dalam tanah akan menyebabkan tanah rosak dan kualiti tanah merosot (Rayyan Darwisy, 2012). Tanah yang tercemar akan menyebabkan kehidupan organisme dan mikroorganisme dalam tanah akan terganggu. Tambahan lagi, flora tidak dapat tumbuh dengan subur atas tanah yang tidak subur. Tanah mengalami kemorosotan kualiti kerana kekurangan zat maka tumbuhan juga akan mengalami kemorosotan dalam  tumbesaran. 



LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN TANAH

   Pencemaran tanah dapat diatasi dengan mengambil langkah mengadakan kempen kesedaran. Manusia sentiasa menjadi punca utama sesuatu pencemaran alam berlaku. Oleh itu, kempen kesedaran perlu dilakukan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar menjaga alam sekitar (Wedaran, 2015). Kempen yang dijalankan ini bertujuan untuk mengajar orang ramai tentang pentingnya alam sekitar terhadap manusia, flora dan fauna. Kempen yang dilaksanakan dapat memberi pengajaran kepada orang ramai. Pelbagai kempen alam sekitar boleh dilaksanakan seperti kitar semula, sahabat alam, sayangi alam sekitar kita, cintailah bumi, dan lain-lain lagi.

   Selain itu, kesedaran yang ada dalam diri seseorang individu mengenai lama sekitar sangatlah penting. Kaedah pendidikan alam sekitar mampu membentuk sikap positif seseorang individu terhadap alam sekitar (2005). Oleh itu, kaedah pendidikan alam sekitar boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah pencemaran alam yang berlaku dan perlu diberi pendidikan bermula dari kanak-kanak. Pendidikan yang diberi mampu menyedarkan orang ramai betapa pentingnya kualiti alam sekitar yang tinggi harus dikekalkan. 

   Seperkara lagi, cara pemikiran orang ramai perlu dibentuk untuk mengatasi isu pencemaran tanah. Pendedahan melalui media massa sangat penting supaya orang ramai akan lebih berhati-hati dengan sikap mereka yang sambil lewa sahaja terhadap alam sekitar. Media massa mampu mempengaruhi pemikiran manusia untuk berubah kerana masyarakat dan media tidak dapat dipisahkan (Rayyan Darwisy, 2012). Oleh itu, salah satu cara yang boleh di ambil untuk mengatasi masalah pencemaran tanah ialah pendedahan media massa


KESIMPULAN

Secara konklusi, perbuatan manusia merupakan punca utama berlakunya pencemaran tanah. Sikap penduduk sekarang akan menyebabkan generasi akan datang terpaksa merasa tempias jika pencemaran tanah ini berlaku berterusan. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk menjaga bumi ini.  


No comments:

Post a Comment